Saturday, December 24

Segila-gilanya

Kehadapan,
Yang baru gila sedikit


Dunia sememangnya kejam. Hanya bagi siapa yang tidak dapat menilai bahawa sebenarnya dunia ini indah, bukannya kejam.


Dunia tidak kejam. Siapa kata dunia ini kejam? Katakan padaku siapa yang berkata begitu? Siapa?! Akan aku sekeh dan parut kulit kepalanya hinggal terjojol otak lembik yang merah itu. Gilakah kamu untuk mengatakan yang dunia ini kejam?


DUNIA JUGA TAK GILA! KAU YANG GILA!. Masakan kau boleh cakap dunia ini gila sedangkan kau sendiri belum pernah melihat dunia hingga seluruh isinya. Kau hanya selesa ditempat kau dan bila mana kau susah, kau cakap dunia ini gila. Ternyata dunia ini tidak gila, cuma kau yang hampir gila.


Mana boleh kita dengar cakap pendapat orang. Engkau pun sendiri tidak tahu sama ada yang cakap dunia ini gila itu benar-benar waras fikirannya. Kau tidak boleh dengar pendapat dari orang gila melainkan kau sendiri pun sama gila macam dia!. Dunia tak pernah gila dan tidak akan pernah gila. Tidak akan sama sekali. Cuma kau sahaja yang gila.


Kau tahu kenapa orang gila itu cakap dunia ini gila? Kerana dialah si gila yang menggilakan dunia ini. Kau tak percaya?


Kau lebih percaya siapa?. Aku si penulis blog yang si gila itu dengki kerana aku akan bocorkan rahsia gila dia terhadap engkau atau kau lebih selesa untuk percaya si gila itu kerana sememangnya kau pun sudah hendak gila sedikit.


Cuma mungkin gila kau belum lagi gila seperti si gila itu. Dia sudah tak dapat dirawat lagi gilanya. Gilanya sudah sampai tahap kritikal umpama cerai talak tiga yang tak boleh dirujuk kembali ikatannya. Begitulah tahap si gila itu sehinggakan tiada apa yang mampu mewaraskan kembali gilanya itu. Nauzubillah minta kau pun dihindarkan jauh-jauh dari penyakit gila seperti itu.


Dari sinar mata kau, (walaupun aku bukan ahli psikik malahan aku cuma penulis blog) aku yakin kau mampu sembuh dari gila yang sedikit itu. Sebab gila kau belum tahap kritikal seperti si gila itu.


Punca kau jadi gila yang sedikit itu pun kerana terlalu asyik dengan dunia yang indah. Kau berjalan selaju yang mahu tanpa toleh kanan kiri apatah lagi kau hanya pandang sahaja kehadapan kerana kau hanya nampak yang indah terpampang. Tidaknya kau hiraukan yang dikiri, yang dikanan. Malahan yang dibelakang kau anggap seperti tidak pernah ada untuk kau. Itulah punca kau dapat penyakit gila yang sedikit itu. Kalaulah kau menoleh sekali-sekala. Pastinya kau tidak dapat penyakit gila yang sedikit ini.


Waktu kau asyik dengan dunia indah ini, kau terlupa sebentar bahawa bukan ini caranya. Dunia ini sendiri ada aturannya yang mengelakkan penghuni ini jadi gila. Bila terlanggar aturan ini yang menyebabkan penghuninya mendapat gila yang sedikit ini.


Dunia kan indah. Tanyalah semua orang yang tak gila. Indah semuanya jawapan mereka kalau diajukan tentang dunia. Orang gila yang sedikit sahaja akan jawab dunia ini gila kerana mereka sendiri sudah gila.


Kata kau buat apa dipeduli yang kanan, yang kiri kalau didepan itu sendiri sudah indah belaka. Bukankah itu namanya membuang rezeki. "Pastinya yang kanan dan yang kiri itu sebenarnya dengki kerana didepan yang kanan dan yang kiri itu tidak terpampang keindahan yang dinikmati aku sekarang ini" kata kau.


Tiadalah itu menjadi rezeki melainkan kesusahan kalau yang kanan dan yang kiri itu kau tak hiraukan, kau buang jauh-jauh. Sepertinya dunia ini ada aturan sendiri. Kita juga perlu mengimbangkan kehidupan kita agar tak jadi gila seperti gila tahap cerai talak tiga itu. Dunia ini indah sebab adanya siang dan adanya malam, adanya langit adanya darat. Perlu seimbang kalau tidak mahu gila. Begitu juga engkau. Meskipun engkau dihadapkan dengan keindahan yang terpampang dihadapan yang sayang sekali kalau ditolak perlu juga ada yang kanan dan yang kiri supaya kelak engkau tidak akan tersungkur. Inilah yang akan menjadi bekalan atau pelindung supaya engkau tak gila kelak.


Sekarang terpulang kepada engkau cakap siapa yang engkau hendak percaya. Cakap aku si penulis blogger sambilan atau cakap si gila yang sudah gila tahap cerai talak tiga itu. Sesungguhnya aku telah melakukan tugas aku menasihati sekalian taulan dari menjadi gila yang sedikit itu. Sekarang kau pulak kena buat pilihan engkau. Pilih seeloknya!


Seunik namamu
Seindah ingatanku

Yang gila itu kamu
Yang penyayang itu juga kamu

Cuma aku 
Tidak tahu
Apa aku 
Kurang mampu
Untuk kamu
Milikku


Sekian,
Penulis blog yang mengasihimu